Wednesday, February 18, 2009

Pakatan Rakyat umum calon ikut parti bertanding pilihan raya lalu

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan meletakkan calon mengikut kerusi parti yang bertanding pada pilihan raya umum lalu di kedua-dua pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, berkata Pakatan Rakyat sudah bersetuju untuk meletakkan calon Pas pada kerusi Parlimen Bukit Gantang dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi DUN Bukit Selambau.

“Cuma nama calon akan diumumkan kelak, senarai nama mengikut parti bertanding sudah ada, menunggu masa sesuai saja,” katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan Bengkel Memperkasakan Pakatan di sini, semalam.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau, Kedah diadakan berikutan wakil rakyatnya V Arumugam daripada PKR meletakkan jawatan pada Ahad lalu manakala pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak diadakan ekoran kematian Ahli Parlimennya, Roslan Shaharum, daripada Pas Isnin lalu akibat serangan jantung.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kerusi itu akan diadakan serentak pada 7 April ini. Penamaan calon ditetapkan pada 29 Mac depan.
Arumugam, 55, yang bertanding atas tiket bebas pada Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalu memenangi kerusi DUN Bukit Selambau selepas mengalahkan calon BN, S Krishnan dengan majoriti 7,695 undi.

Arumugam kemudian menyertai PKR dan dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri dengan memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Allahyarham Roslan, 50, menewaskan Bendahari Umno, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, Mohganan P Manikam dengan majoriti 1,566 undi di kerusi Bukit Gantang.

No comments:

Post a Comment