Wednesday, February 18, 2009

95 penagih pelajar IPT

PASIR GUDANG: Seramai 95 orang atau kira-kira dua peratus daripada 12,352 penagih dadah yang ditahan pihak berkuasa di seluruh negara, tahun lalu, membabitkan pelajar kolej atau penuntut di universiti.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadak Kebangsaan (AADK), Prof Dr Mahmood Nazar Mohamed, berkata walaupun jumlah itu boleh dianggap kecil, ia tidak dipandang remeh kerana pihaknya mahu mendekati dan mendidik setiap lapisan masyarakat bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan dadah.

“Seramai 95 pelajar terbabit berasal dari kawasan bandar dan luar bandar dengan sebahagian besar daripada mereka mengambil dadah perangsang jenis amphetamine (ATS) atau dadah sintetik dan baru pada peringkat awal terbabit dalam penagihan dadah.

“Selain itu, terdapat kajian sebuah universiti, dua daripada setiap 1,000 pelajar terbabit dengan dadah.



“Kami akan berusaha mendekati dan mendidik warga universiti serta kolej supaya menjauhi dadah kerana mereka dianggap golongan berpotensi cemerlang dalam pelajaran dan membantu negara di masa depan,” katanya selepas Program Memperkasa Komuniti Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Pelancaran Rakan Anti Dadah (Rada) Peringkat Negeri Johor di Politeknik Johor Bahru, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Prof Mohd Yusof Kasim, yang mewakili Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.

Dr Mahmood berkata, program Rada itu bertujuan menggalakkan bakal graduan menjadi mata dan telinga kepada agensi berkenaan dan ia hampir sama dengan Rakan Cop.

No comments:

Post a Comment